Saturday, March 6, 2010

Guru Oh Guru ! Renung-Renungkanlah ...

Sajak - Guru Oh Guru
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


Sabtu, 2010 Mac 06

Terlalu Lama Di Pedalaman

SAYA menyambut baik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa guru mungkin diwajibkan berkhidmat di kawasan pedalaman antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan mereka.

Ini adalah pengorbanan besar bagi guru dari segi fizikal, moral, mental dan sebagainya untuk berkhidmat demi anak bangsa.

Tetapi timbul persoalan dalam pemikiran saya, adakah selepas tempoh ditetapkan itu membolehkan guru terbabit bertukar ke sekolah dimohon atau hanya sekadar melayakkan untuk mengisi borang permohonan tukar guru saja?

Ini disebabkan kebanyakan guru Semenanjung yang mengajar di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak sudah melebihi tiga hingga lima tahun, bahkan ada yang mencecah hampir 10 tahun tempoh perkhidmatan.

Namun, permohonan pertukaran mereka ini tidak diluluskan hanya sekadar memberi pengharapan tetapi tidak kesampaian terutama guru yang mengajar subjek Pendidikan Islam.

Saya yakin dan percaya antara yang membolehkan ramai guru baru sanggup menerima cabaran dan pengorbanan untuk berkhidmat di pedalaman seperti dikehendaki Kementerian Pendidikan mengikut tempoh ditetapkan itu, ialah dengan meluluskan permohonan pertukaran mereka bila cukup tempoh perkhidmatan ditetapkan sekiranya mereka berkhidmat di pedalaman kecuali jika guru itu tidak mahu bertukar dan suka mengajar di pedalaman.

GURU PEDALAMAN,
Sarawak.

Berita Harian Online: 6 Mac 2010


Jumaat, 2010 Mac 05

Elok Gilir Guru Baru

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan
ffarlin@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta kementerian menetapkan guru baru lepasan pusat latihan perguruan di seluruh negara perlu digerakkan berkhidmat ke kawasan luar bandar sebagai sebahagian tanggungjawab seorang pendidik kepada anak bangsanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng, berkata walaupun ada cadangan supaya guru wajib berkhidmat di kawasan luar bandar, Kementerian Pendidikan perlu menyediakan sedikit ruang bagi kes tertentu dan mengambil kira rayuan dikemukakan guru jika ia tidak dapat memenuhi tuntutan bertugas di pedalaman.

Beliau berkata, cadangan dikemukakan itu ada asasnya kerana guru perlu memberi keutamaan kepada pelajar disebabkan murid di luar bandar memerlukan guru, apalagi golongan pendidik diberi insentif kerajaan bertugas di luar bandar.

“Namun NUTP berpandangan hanya guru baru perlu ditempatkan di luar bandar dan bertugas secara bergilir, bukannya guru yang bertahun-tahun berkhidmat di bandar kerana guru itu berakar umbi di situ dan jika kita tarik dia diletakkan di luar bandar, dibimbangi prestasi kerjanya akan terjejas.

“Lagipun, setiap bakal guru perlu sedar keperluan mereka berkhidmat di luar bandar selain bersiap sedia dari segi minda sejak awal bertugas di mana saja yang ditetapkan kementerian,” katanya ketika dihubungi .

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Selasa lalu, berhubung cadangan mewajibkan guru bertugas di pedalaman serta luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai satu daripada langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan berkenaan. Muhyiddin berkata, sebagai penggalak, mereka diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman dialami sektor pendidikan ketika ini. Dalam laporan kelmarin juga, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman diambil kira dalam pertimbangan kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi. Katanya, ganjaran itu antara bentuk dorongan baru dikaji menggalakkan guru berkhidmat di kawasan berkenaan.

myMetro: 5 Mac 2010


Khamis, 2010 Mac 04

Mudah Naik Pangkat

Oleh Syuhada Choo Abdullahmailto:Abdullahchoo@bharian.com.my

TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan timbalannya Dr. Mohd Puad Zarkashi (duduk dua dari kanan) serta Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom (duduk kanan). - Foto Izhari Ariffin

Guru Berkhidmat Di Luar Bandar Diberi Kelebihan

KUALA LUMPUR: Pengalaman berkhidmat di sekolah luar bandar dan pedalaman akan diambil kira dalam pertimbangan untuk kenaikan pangkat dan pemberian insentif lain, termasuk tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian pada peringkat lebih tinggi.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata ganjaran itu antara bentuk dorongan baru yang sedang dikaji untuk menggalakkan guru berkhidmat di kawasan berkenaan, selain sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap pengorbanan mereka.
Beliau bagaimanapun berkata, pengalaman berkhidmat di luar bandar bukan bermakna guru terbabit akan mendapat kenaikan pangkat dan ganjaran lain secara automatik, sebaliknya ia memberi mereka kelebihan dalam pertimbangan yang turut bergantung kepada faktor penting lain, seperti kekosongan jawatan, kekananan dan prestasi perkhidmatan. "Satu kertas kerja yang mencakupi segala aspek menyeluruh mengenai perkhidmatan guru di luar bandar dan pedalaman, termasuk dari segi pemilihan, penempatan, bentuk galakan serta ganjaran sedang pada peringkat akhir penyediaan oleh jawatankuasa yang saya pengerusikan. "Usaha ini dimulakan sejak akhir tahun lalu di mana kita mengambil kira, mempertimbang dan membincangkan secara teliti semua isu berkaitan serta masalah daripada keseluruhan aspek yang dijangka timbul berhubung perkara berkenaan," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin, berhubung cadangan mewajibkan guru bertugas di pedalaman serta luar bandar antara tiga hingga lima tahun dalam tempoh perkhidmatan sebagai salah satu langkah mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan itu. Muhyiddin berkata, sebagai penggalak, mereka akan diberikan ganjaran yang diharap dapat mengatasi masalah kekurangan guru di luar bandar dan pedalaman yang dialami sektor pendidikan ketika ini. Alimuddin berkata, kertas kerja yang disediakan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian itu akan siap tidak lama lagi dan akan dibentangkan pada mesyuarat pengurusan dan profesional sebelum dikemukakan kepada Muhyiddin untuk kelulusan. "Apabila ia diluluskan, dasar baru berkenaan boleh dilaksanakan dalam tahun ini juga sekiranya sempat atau pada sesi persekolahan baru tahun depan," katanya.
Beliau berkata, guru harus melihat penempatan di sekolah luar bandar dan pedalaman selama tiga hingga lima tahun daripada keseluruhan tempoh 33 hingga 35 tahun perkhidmatan mereka dalam profesion itu, sebagai satu tanggungjawab sosial dan khidmat negara yang amat bermakna. Katanya, rata-rata tenaga pengajar di sekolah luar bandar dan pedalaman ketika ini adalah guru baru, sedangkan khidmat guru berpengalaman melebihi lima tahun juga diperlukan untuk membantu mempertingkat kecemerlangan pendidikan di kawasan itu, sekali gus merapatkan jurang prestasi antara pelajarnya dengan rakan sebaya di sekolah bandar.
"Justeru, kertas kerja itu tidak hanya bertumpu kepada penghantaran guru baru, sebaliknya turut mengkaji kepentingan menempatkan guru berpengalaman ke luar bandar serta pedalaman untuk mengisi kekosongan berdasarkan keperluan opsyen, terutama bagi mereka yang belum pernah ditukarkan ke kawasan berkenaan.
"Memang ada guru berpengalaman yang tidak pernah ditukarkan ke kawasan luar bandar atau pedalaman walaupun sudah hampir bersara. Maka, dasar umpama khidmat negara sebegini dipercayai akan mendorong guru berusaha mendapatkan penempatan ke sekolah luar bandar dan pedalaman lebih awal," katanya.
Berita Harian Oline: 4 Mac 2010

Khamis, 2010 Mac 04

Minda Pengarang: Pengorbanan Guru Ke Pedalaman Buka Ruang Lebih Berjaya

APABILA Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, guru sedia ada dan guru baru akan diwajibkan bertugas di luar bandar serta pedalaman maka ketetapan itu bertujuan menjayakan sebahagian lagi proses Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tanpa dibatasi garis sempadan. Langkah mewajibkan guru berkhidmat antara tiga hingga lima tahun adalah antara usaha mengatasi kekurangan tenaga pengajar di kawasan berkenaan. Sistem pendidikan terbaik adalah yang memastikan setiap kanak-kanak berjaya dan ejen kepada kejayaan ini ialah guru. Ada seramai 369,931 guru berkhidmat di seluruh negara (perangkaan 2008). Mereka adalah ejen pembangunan sosial paling penting dalam merubah dan membentuk seorang individu sekali gus menjadi warga negara yang menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat, bangsa, agama dan negaranya. Syarat wajib ini jangan dilihat sebagai beban, igauan dan fobia kepada guru sedia ada mahu pun calon guru. Berkhidmat di luar bandar dan pedalaman mesti disambut secara positif. Kepayahan di sana akan melahirkan ketabahan dan tekad kental individu yang melalui. Keterpencilan melahirkan keinsafan sekali gus meningkat usaha seseorang untuk membuktikan kemampuan. Proses ini boleh dikategorikan sebagai hijrah yang terbukti di seluruh dunia sentiasa menjanjikan seseorang untuk menggapai kecemerlangan. Keputusan Nabi Muhammad SAW berhijrah dari Makkah ke Madinah adalah bukti paling jelas bahawa perpindahan membuka ruang seluas-luasnya kepada seseorang untuk lebih berjaya, tabah dan lebih berperancangan.

Apabila ayat pertama al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah berbunyi 'iqra' (baca) maka dengan jelas dan tepat menunjukkan keupayaan membaca bakal menentukan kehidupan seseorang dan hanya guru yang sanggup berkorban akan memastikan anak bangsa di luar bandar serta pedalaman menguasai kemahiran membaca seterusnya berupaya meneruskan kehidupan pada tahap terbaik selepas tamat persekolahan. Apabila kehidupan ini berkait sangat rapat dengan membaca (ilmu dan kemahiran) maka guru adalah kelompok yang sangat penting dalam sesuatu komuniti. Tanpa menafikan peranan ibu bapa dan persekitaran dalam proses kedewasaan seseorang, guru adalah individu paling hampir dengan setiap individu di dunia ini. Murid di bandar dan pinggir bandar menikmati proses pendidikan mantap serta sempurna dan ini mesti disamaratakan dengan murid di luar bandar serta pedalaman. Dengan purata 30 hingga 40 peratus murid adalah warga luar bandar serta pedalaman, angka ini memerlukan pengorbanan besar guru sedia ada mahupun guru muda untuk berkhidmat menjadi lilin tanpa alasan untuk menolak arahan. Melalui makmal pendidikan GTP yang mengumpulkan pelbagai maklumat kerjaya perguruan dan sistem pendidikan terbaik dunia, maka sektor itu mampu menghasilkan inisiatif melahirkan guru terbaik yang menguasai pedagogi pendidikan untuk membangunkan potensi murid luar bandar serta pedalaman.

Berita Harian Online: 4 Mac 2010


Rabu, 2010 Mac 03

Wajib Bertugas Di Pedalaman?

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAMdan TARMIZI ABDUL


Muhyiddin Yassin bertemu kakitangan Kementerian Pelajaran selepas menyampaikan amanat kepada kakitangan kementerian itu pada majlis perhimpunan bulanan di Kuala Lumpur, semalam. – Bernama
KUALA LUMPUR 2 Mac – Kerajaan akan menimbangkan untuk mewajibkan semua guru bertugas di kawasan pedalaman antara tiga dengan lima tahun daripada tempoh perkhidmatan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kumpulan sasaran untuk menyahut cabaran itu ialah guru-guru yang masih belum berkeluarga.
Katanya, langkah itu akan menjadi satu bentuk dorongan dan cabaran baru kepada warga pendidik untuk bertugas di kawasan pedalaman di atas dasar khidmat sosial kepada negara.
Beliau berkata, cadangan itu bertujuan mengatasi masalah penempatan guru di kawasan pedalaman yang menjadi salah satu cabaran besar yang dihadapi Kementerian Pelajaran pada masa ini.
“Dalam tempoh 30 tahun guru berkhidmat, mungkin boleh antara tiga ke lima tahun dari tempoh itu mereka memberi perkhidmatan di kawasan pedalaman.
“(Ini) sebagai satu kewajipan, bukan sebagai satu pilihan dan ini memang perlu kita lihat,” katanya.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian sewaktu ditemu bual dalam rancangan Agenda Awani yang disiarkan oleh stesen televisyen Astro, di sini malam ini.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sebenarnya telah menyediakan beberapa bentuk galakan untuk guru bertugas di kawasan pedalaman seperti elaun sara hidup maksimum RM1,500 sebulan.
Bagaimanapun, katanya, yang lebih penting ialah kesungguhan dan kesediaan warga perguruan untuk berkorban demi anak bangsa.
“Kalau semua nak pergi ke kawasan bandar, tidak ada pihak yang bersedia untuk berkorban mendidik anak- anak di pedalaman. Ini adalah satu kepincangan dalam sistem (pendidikan) kita,” katanya.
Dalam pada itu, mengenai arahan mewajibkan setiap pelajar sekolah menengah dan rendah mengambil satu jenis sukan bermula tahun depan, Muhyiddin berkata, pihak sekolah tidak wajar memberikan pelbagai alasan untuk tidak mematuhinya.
Muhyiddin mengakui antara masalah yang ditimbulkan ialah sesetengah sekolah terutama yang tidak mempunyai prasarana sukan mencukupi seperti kemudahan padang dan kelengkapan.
Beliau berkata, mereka masih mempunyai alternatif lain seperti menjalinkan kerjasama menang-menang dengan persatuan sukan, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggunakan kemudahan yang dimiliki oleh pihak berkenaan.
“Sukan mempunyai prospek yang amat besar dan saya yakin ia mampu dilaksanakan serta pada masa yang sama, kerajaan sedia memberikan kerjasama sewajarnya.
“Selain itu, kerajaan juga mempunyai tujuan bersifat serampang dua mata dalam melaksanakan dasar ini iaitu bagi menangani masalah terlalu ramai kanak-kanak yang mengalami masalah obesiti,” katanya.
Utusan Malaysia Online: 3 Mac 2010

No comments:

Post a Comment